Guru Sejati

Friday, July 22, 2005

Konsep Ujian Kecergasan Fizikal

BAB 1
Pengenalan
dan
Konsep Ujian Kecergasan Fizikal.


1. Pengenalan: Definisi Kecergasan Fizikal

a. Kecergasan untuk kesihatan merangkumi aspek yang berkaitan dengan fungsi fisiologi dan psikologi yang dipercayai memberi individu perlindungan dari ancaman penyakit hipokinetik (kekurangan pergerakan) seperti penyakit jantung, kegemukan, dan pelbagai penyakit otot dan tulang.

b. Kecergasan untuk prestasi pula merujuk kepada fungsi dan keupayaan individu untuk bertanding dalam aktiviti sukan dengan bertenaga, berdaya kuasa, kekuatan, berdaya tahan, berkemahiran dan sebagainya.


2. Komponen Kecergasan Fizikal

a. Kecergasan fizikal dibahagikan kepada dua bahagian iaitu:
Kecergasan fizikal yang berasaskan kesihatan; dan
Kecergasan fizikal yang berasaskan perlakuan motor.


Terdapat 11 komponen ujian yang boleh dilaksanakan di dalam ujian kecergasan fizikal iaitu:

Komponen Kecergasan

Penerangan
a. Kekuatan otot Keupayaan otot menghasilkan tenaga luaran. Pada amnya jumlah berat diangkat sebagai ukuran tenaga tersebut.

b. Kelembutan Keupayaan untuk menggunakan sendi dan melakukan pergerakan sepenuhnya.

c. Koordinasi Keupayaan untuk menggunakan deria penglihatan atau sentuhan bersama deria kinestatik atau otot untuk menghasilkan pergerakan badan pada masa yang sesuai dan tepat.

d. Imbangan Keupayaan untuk mengawal postur secara tegak sama ada bergerak atau statik.

e. Ketangkasan Keupayaan mengubah kedudukan badan dengan pantas disamping mengawal pergerakan.

f. Kuasa Keupayaan melakukan sesuatu pergerakan dengan cepat. Ia merupakan gabungan kekuatan dan kelajuan.

g. Masa Tindakbalas Masa untuk seseorang bertindak selepas membuat keputusan untuk melakukan sesuatu.

h. Kelajuan Keupayaan untuk bergerak pantas.

i. Daya tahan otot Keupayaan menggunakan otot tulang rangka secara berterusan tanpa merasa penat.

j. Daya tahan kardiovaskular Keupayaan untuk melakukan aktiviti fizikal secara berterusan

k. Komposisi badan Peratusan lemak tubuh badan berbanding dengan tisu-tisu lain
3. Penilaian Ujian Kecergasan Fizikal di Sekolah


a. Konsep


Penilaian kecergasan fizikal ialah satu prosedur atau teknik yang digunakan untuk menguji tahap kecergasan fizikal murid. Prosedur dan teknik ujian hendaklah mengikut peringkat umur, kebolehan murid, serta mengambil kira peralatan dan tempat ujian dijalankan.

b. Matlamat


Murid sentiasa peka, berpengetahuan dan mengamalkan aktiviti kecergasan untuk meningkatkan dan mengekalkan tahap kecergasan fizikal yang optimum.


c. Objektif

Murid dapat:

1. Mengetahui kepentingan kecergasan fizikal.
2. melakukan ujian kecergasan yang dirancang.
3. menganalisis, mengintepretasi dan menyimpan rekod kecergasan fizikal sendiri
4. melakukan tindakan susulan untuk meningkatkan kecergasan fizikal sendiri melalui perancangan aktiviti kecergasan terancang.

d. Persediaan

1. Murid telah berlatih secukupnya sebelum menjalani ujian, khasnya dalam latihan aerobik.
2. Mesti memanaskan badan sebelum ujian.


BAB 2
Huraian Ujian Kecergasan Fizikal yang akan dijalankan untuk atlet terpilih.
(Objektif, Nama Ujian, Prosedur, Catatan/skor, Limitasi ujian, Peralatan)


Ujian Lompat Jauh Berdiri

Nama Ujian : Lompat Jauh Berdiri

Komponen : Kuasa (Perlakuan Motor)

Objektif : Mengukur kuasa kaki

Prosedur : 1. Murid mesti berdiri di belakang garisan mula
2. Murid mesti bengkokkan kaki dan ayun tangan ke belakang.
3. Lompat ke hadapan menggunakan kedua belah kaki serentak sejauh yang boleh.
4. Tiga percubaan diberi dan jarak terbaik dicatatkan sebagai skor
5. Ukuran diambil dibahagian tumit dari garisan mula.

Pemarkahan : 1. Skor mentah dalam kiraan sentimeter.Murid mesti berdiri di belakang garisan mula
2. Pengiraan markah secara persentil

Peralatan : Lantai yang rata seperti padang/ petak lompat jauh, Borang Skor, Penanda, Pita Ukur, Borang Skor.
Limitasi ujian : Ujian ini hanya dijalankan kepada 12 orang atlet lelaki Sekolah Kebangsaan Felda Cerul yang terpilih sahaja.



Contoh Borang Pemarkahan Ujian Kecergasan
Nama Ujian :…………………………………………
Tarikh :…………………………………………

Bil. Nama Murid Skor Mentah Pencapaian Gred Catatan
1.


2.


3.


4.


5.


6.


7.


8.


9.


10.





Pemarkahan:

25% pertama = Cemerlang
25% kedua = Baik
25% ketiga = Sederhana
25% keempat = Lemah







BAB 3
Laporan Ujian yang telah dijalankan.
(Pentadbiran dan Pengelolaan)



Pentadbiran dan Pengelolaan Ujian

a. Pengenalan: Sekolah Kebangsaan Felda Cerul

Sekolah Kebangsaan Felda Cerul, Kemaman merupakan sekolah yang menyertai secara aktif Kejohanan Olahraga Sekolah Rendah di Peringkat Daerah Kemaman. Secara umumnya, pencapaian atlet sekolah ini bolehlah dibanggakan. Pada tahun 2004, kontinjen ini telah menduduki tempat ketiga secara keseluruhan diperingkat daerah Kemaman. Manakala tahun ini (2005), kontinjen sekolah ini telah berjaya berada ditempat kelima.

Sepanjang latihan olahraga pada tahun ini, penulis juga terlibat secara langsung terhadap latihan yang telah dijalankan. Memang tidak dinafikan bahawa terdapat kelemahan yang ketara dalam aspek kecergasan atlet kami.

Pada pemerhatian penulis, atlet ini dilihat kekurangan dari segi aspek daya tahan kardiovaskular, daya tahan otot dan kuasa. Keadaan ini dapat dikesan apabila mereka kelihatan cepat penat dan kurang berkeupayaan melakukan sesuatu pergerakan dengan cepat.

b. Komponen kecergasan yang dipilih (kuasa)

Seperti dimaklumi kecergasan fizikal terbahagi kepada dua bahagian iaitu kecergasan berasaskan kesihatan dan kecergasan berasaskan kemahiran. Daripada dua bahagian ini terdapat 11 komponen iaitu daya tahan kardiovaskular, kekuatan, daya tahan otot, kelembutan, komposisi badan, ketangkasan, imbangan, koordinasi, kuasa, kelajuan dan masa tindakbalas.

Berdasarkan 11 komponen, penulis telah mengambil keputusan untuk memilih komponen kuasa sebagai komponen ujian yang akan dijalankan kepada atlet terpilih. Komponen ini dipilih apabila didapati atlet kurang berkeupayaan melakukan sesuatu pergerakan dengan cepat.

Kuasa merupakan keupayaan melakukan sesuatu pergerakan dengan cepat. Ia merupakan gabungan kekuatan dan kelajuan. Kuasa otot adalah aplikasi kuasa dalam satu lingkungan masa yang singkat. Didapati bahawa penilaian yang khusus dan tepat untuk kekuatan otot, daya tahan otot dan kuasa otot amat sukar diperolehi. Ini kerana garisan pemisah diantara ketiga-tiga ini amat nipis sekali. Misalnya, bangkit tubi kerap kali dikaitkan dengan mengukur daya tahan otot tetapi sekiranya hanya sedikit sahaja ulangan yang dapat dilakukan maka ianya mengukur mengukur kekuatan. Sekiranya bangkit tubi dilakukan dengan pantas, maka ianya bolehlah digunakan untuk mengukur kuasa. Namun melalui pembacaan, penulis merumuskan bahawa ujian yang akan dijalankan inil iaitu lompat jauh berdiri lebih mengukur kuasa.

c. Perlaksanaan Ujian

Selepas berbincang dengan Ketua Jurulatih SKFC, En Syahrine b Arshad, beliau bersetuju untuk membantu penulis mengadakan ujian kecergasan fizikal kepada atlet kami. Kami bersetuju untuk mengadakan ujian itu pada 2/5/2005 (Isnin).

Berdasarkan maklumat daripada En Syahrine, beliau mengatakan bahawa beliau pernah mengadakan ujian ini kepada atlet beliau. Keadaan ini membolehkan saya untuk membanding keputusan ujian ini dengan keputusan yang telah dibuat dulu.

Terlebih dahulu atlet-atlet dipanggil dan diberi penerangan mengenai ujian yang akan dijalankan. Selepas taklimat dan tunjuk cara, atlet memanaskan badan dan berlatih secara bersendirian dengan bimbingan guru. Sebelum itu, semua atlet yang terpilih untuk ujian ini telah disahkan oleh Ketua Jurulatih tidak mengidapkan penyakit kronik dan didapati sihat pada waktu ujian. Saya telah memilih tempat ujian di padang sekolah yang mempunyai rumput yang tebal sedikit supaya atlet dapat melakukan lompatan tanpa menyakitkan kaki/tumit mereka.

Selepas diperhatikan keadaan murid bersedia, saya menjalankan ujian tersebut dan hasilnya dilaporkan seperti berikut:
Borang Pemarkahan Ujian Kecergasan
(Sekolah Kebangsaan Felda Cerul, Kemaman)

Nama Ujian : Ujian Lompat Jauh Berdiri
Tarikh : 2/5/2005 (Isnin)
Bil. Nama Murid Skor Mentah Pencapaian Gred Catatan


25% pertama = Cemerlang
25% kedua = Baik
25% ketiga = Sederhana
25% keempat = Lemah
Selepas ujian ini dijalankan atlet diberi rehat dan diberi taklimat mengenai kepentingan ujian kecergasan kepada diri sendiri. Mereka juga diberitahu bahawa ujian ini hanya merupakan salah satu ujian kecergasan. Murid digalakkan untuk berlatih dengan guru mengenai ujian-ujian kecergasan lain dan seterusnya membuatnya secara sendirian, bersama rakan atau keluarga mereka. Guru akhirnya menerapkan unsur kepekaan mengenai kecergasan boleh membantu mereka dalam melaksanakan aktiviti harian tanpa rasa letih dan lesu.

Perbincangan Hasil Ujian:

Hasil daripada ujian didapati atlet yang telah mencatatkan skor tertinggi ialah 190 cm iaitu Mohd Faezuan b. Saupe. Manakala atlet yang telah mencatatkan skor terendah ialah 149 cm iaitu Mohd Asrull b. Tamrin. Purata catatan skor 12 orang atlet ini ialah 169.5 cm. Selain itu, didapati bahawa 5/12 orang telah mencatatkan skor lebih daripada 180 cm. Berdasarkan maklumat lisan ketua jurulatih, skor mereka pada kali ini telah meningkat sedikit berbanding ujian yang dijalankan pada kali pertama. Pada pendapat penulis, perubahan ini merupakan hasil daripada latihan yang berfasa yang diadakan pada setiap hari semenjak 3 bulan sebelum ini.

Namun pada pemerhatian penulis, skor mereka ini masih boleh ditingkatkan jika latihan mengenai kuasa otot dapat dijalankan dan lebih dititikberatkan sepanjang latihan selepas ini. Latihan olahraga ini akan berterusan dan Pos Ujian untuk ujian kecergasan ini akan diadakan menjelang sebulan selepas ujian ini diadakan. Oleh demikian atlet ini telah diingatkan supaya mengekalkan tahap kecergasan bagi mencatatkan skor yang meningkat secara signifikan pada Pos Ujian nanti.

Kesimpulan:
Hasil daripada ujian ini dapatlah disimpulkan bahawa atlet ini masih berada pada tahap yang boleh ditingkatkan kecergasan fizikal mereka. Kuasa kaki yang ada pada mereka adalah antara aset penting untuk berjaya dalam bidang olahraga. Oleh yang demikian, peningkatan kuasa kaki akan menjadi tumpuan saya dan jurulatih olahraga lain bagi memastikan mereka ini mencapai tahap kecergasan fizikal optimum pada setiap masa terutamanya menjelang kejohanan.


BIBLIOGRAFI

Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, 2003. Panduan Guru Penilaian Kecergasan Fizikal Sekolah Rendah. Kuala Terengganu

Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, 2003. Rancangan Pengajaran Harian Pendidikan Jasmani dan Kesihatan Tahun 1-6. Kuala Terengganu, JPNT

Kementerian Pendidikan Malaysia, 2003. Huraian Sukatan Pelajaran Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah, Pendidikan Jasmani. Kuala Lumpur, Pusat Perkembangan Kurikulum.




Thursday, July 21, 2005

Apakah yang anda faham dengan insan guru seimbang dan
huraikan ciri-ciri guru yang seimbang.
1. Pengenalan

Falsafah Pendidikan Kebangsaan
"Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.”

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata cabaran guru pada masa ini adalah untuk melahirkan "pelajar seimbang yang mampu berfikir" yang boleh menjadi aset penting kepada negara. Tugas guru bukan melahirkan pelajar cemerlang dalam akademik semata-mata, sebaliknya melahirkan generasi muda yang mempunyai fikiran rasional, berfikir secara kritikal dan mempunyai semangat patriotik yang tinggi, kata Timbalan Perdana Menteri. "Apa guna kita melahirkan pelajar yang bijak tetapi mencaci negara sendiri di luar negara. Kita mahu melahirkan rakyat yang ada perasaan bangga kerana lahir di negara ini," katanya ketika melancarkan perayaan Hari Guru 2005 Peringkat Kebangsaan di Nilai baru-baru ini.

Berdasarkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan ucapan Datuk Seri Najib Tun Razak, tugas melahirkan insan seimbang adalah tanggungjawab guru. Tugas ini sememangnya menuntut seseorang guru untuk memiliki ciri-ciri insan yang seimbang kerana hanya guru yang seimbang mampu mewujudkan insan atau murid yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan yang dimaksudkan itu.


2. Insan Guru Yang Seimbang
2.1 Pengenalan

Seorang guru yang seimbang mempunyai pelbagai keseimbangan dan kesepaduan antara aspek keilmuan, kerohanian, dan kemahiran disertai rasa tanggungjawab terhadap agama, bangsa dan negara. Oleh yang demikian guru yang seimbang semestinya
a. guru yang berkesan,
b. guru yang ‘perkasa’ dan
c. profesional

2.2 Guru Berkesan

Bagaimana dan apakah ciri-ciri yang dimaksudkan dengan seorang guru yang berkesan itu? Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Dato' Dr. Abdul Shukor Abdullah menyenaraikan ciri-ciri guru berkesan sebagaimana berikut:
• Bersikap profesional.
• Mempamerkan ciri-ciri kekuatan teori.
• Kaya ilmu.
• Bertindak di atas landasan etika dan tatasusila kerja.
• Bermoral teguh.
• Sentiasa berusaha meningkatkan kualiti hasil pengajaran.
• Prihatin dengan kehendak murid dan ibu bapa.
• Berkebolehan menilai kekuatan dan kelemahan murid-murid.
• Melengkapkan diri dengan kemahiran yang sejajar dengan tuntutan semasa.
• Menampilkan watak terpuji, berimej, berperibadi mulia, berwawasan sebagai pendidik unggul pada setiap masa.
• Mempastikan situasi 'Guru mengajar murid belajar' wujud di dalam kelas.
• Berupaya melahirkan 'persekolahan berwatak' supaya pelajar mempunyai kekuatan ilmu, berpersonaliti sihat dan serba boleh.
• Berupaya membina minda pelajar yang cemerlamg akademik.
• Berupaya membentuk perwatakan murid dengan pelbagai keteguhan nilai diri (bermoral, berakhlak mulia, berketrampilanm, pandai menyesuaikan diri dengan situasi tertentu).
• Taat dan setia terhadap perkhidmatannya, mempertahankan martabat profesionnya.
• Menunjukkan kesetiaan kepada kerajaan, bebas pendirian, tidak berbelah bahagi.
• Profesional dan menumpukan perhatian kepada P&P di sekolah.

Untuk menjadi guru berkesan seseorang guru perlu berubah. Sudah menjadi kebiasaan bahawa kita lumrahnya liat dan sukar menerima perubahan. Kita sentiasa berpendapat bahawa:
• Bila memikirkan perubahan kita sering fikirkan perkara-perkara yang kita kena lepaskan, bukan kepada perkara-perkara yang akan kita dapat .
• Sekali pun perubahan telah berlaku kita secara fitrahnya mahu meletakkan perkara-perkara kembali kepada keadaan asalnya.

Seseorang guru yang sentiasa berusaha untuk mempertingkatkan kualiti pengajarannya dan sentiasa mementingkan kejayaan dan kebajikan murid-muridnya dikatakan mempunyai "profesionaliti" yang tinggi. Dengan kata lain, guru itu melihat perguruan dan tugasnya bukan semata-mata sebagai satu "pekerjaan" tetapi sebagai satu "profesion".

2.3 Guru ‘Perkasa’

2.3.1 Pengenalan: Kualiti, Cekap dan Berkesan
Guru adalah nadi kepada sekolah. Profesionalismenya adalah kunci kepada peningkatan kualiti. Kualiti yang dimaksudkan bukan sahaja kepada kualiti proses malah yang lebih utama ialah kualiti outputnya (hasil). Perkara ini tidak mungkin dicapai jika individu, kumpulan, kelompok dan organisasi tidak cekap dan tidak berkesan. Oleh demikian agenda memperkasakan guru merupakan perkara yang perlu dititikberatkan.

Menjadi guru yang perkasa bukanlah bererti perkasa dari segi fizikal dan tenaga sahaja tetapi yang lebih penting ialah keperkasaan dari aspek profesionalismenya, prinsipnya, keutuhan keperibadiannya, kecekapan dan ketrampilannya, mental dan keintelektualannya, kestabilan emosi dan spiritualnya serta kebijaksanaan dan kepemimpinannya. Oleh itu menjadi seorang guru yang perkasa amat dipengaruhi oleh tahap tinggi atau rendahnya ciri-ciri dan prestasi profesionalismenya; teguh, tegas dan utuh atau rapuh, lemah dan tidak tegas pegangan hidup dan prinsipnya; luas, tinggi dasn mendalam atau sebaliknya dari segi intelektualnya yang digambarkan menerusi kesedaran-diri dan faham-kendiri yang mendasari kebijaksanaan dan hemah dalam kepimpinan. Seorang guru yang perkasa juga seorang guru yang cekap dan berkesan.

2.3.2 Jadilah Seorang Yang Powerful
Menjadi seorang yang "powerless" tidak menjanjikan sebarang kebaikan dan faedah sama ada dari segi peribadi, kumpulan, kelompok atau pun organisasi dan kerjaya yang kita ceburi. Tentulah kita memilih untuk menjadi "powerful" dan berjaya dalam semua bidang dan aspek kehidupan berkeluarga, sosial dan kerjaya dan dapat menyumbang kepada kesejahteraan bangsa dan negara menerusi tugas mendidik yang kita hayati ini.
Guru sebenar guru ialah seorang guru yang memiliki sifat dan ciri-ciri unggul sebagai penyampai ilmu (yang benar), sebagai penyemai nilai luhur, pembimbing, penunjuk ajar dan pemberi pedoman hidup serta yang paling penting dan berkesan sebagai contoh dan teladan kepada setiap anak didiknya. Guru yang perkasa bukan sahaja sihat tubuh badan dan sihat pula mental dan pemikirannya tetapi seorang yang penuh dengan sifat-sifat iltizam, dedikasi, bertanggungjawab, komited, tekun, sabar, bertimbang rasa, rajin, ceria, amanah, berpegang kepada janji; tetap tidak akan mengkhianati tugasnya atau murid-muridnya.

Prinsip utamanya seorang guru yang perkasa mesti faham bahwa tugas 'mengajar dan mendidik serta meneladan' adalah pekerjaan yang sangat mulia. Guru sebenar guru mestilah dapat menganggap pergi ke sekolah sebagai pergi ke medan jihad (menentang, membasmi dan mencegah kejahilan, kebodohan, kebebalan, kelemahan, kealpaan, kemunduran dan kehinaan akibat tidak berilmu pengetahuan) dan kerja mengajar pula (tanpa sebarang muslihat dan tipu helah) sebagai suatu ibadah. Oleh itu seseorang guru itu akan memainkan peranan mengikut keadaan dan situasi secara penuh tanggungjawab, jujur dan ikhlas; yang di dalam Islam guru sebenar guru ini dikelaskan sebagai:
• Al-mu'allim : menyampaikan ilmu yang benar
• Al-murabbi : menjayakan proses tarbiah
• Al-mu'addib : mengajarkan adab dan budi pekerti
• Al-mursyid : membentuk kepimpinan insan
• Al-mudarris : menitipkan pelajaran dan kemahiran

Seorang guru yang perkasa tidak akan cepat menyalahkan keadaan dan tempat sebelum ia menyalahkan dirinya terlebih dahulu, dan di samping itu pula berusaha meningkatkan ketrampilan dan kewibawaan diri ke tahap yang paling tinggi.

2.3.3 Sifat dan Ciri-Ciri Seorang Guru Yang Perkasa (Seimbang)

Guru yang perkasa mempunyai sifat dan ciri-ciri berikut terhadap murid, mengajar dan disiplin:

a. Terhadap Murid:
1. mempunyai empati dan komitmen dalam menghargai maruah orang lain (iaitu anak didik, ibu bapa dan rakan sejawat) dalam mengejar hasil dari segi afektif dan juga kognitif
2. hubungkan 'mata plajaran' dengan kehidupan murid-murid
3. kenal, hormati dan percayai murid-murid
4. mengajar murid-murid bagaimana hendak belajar, menganalisa dan berfikir secara kritis
5. menjana idea-idea baru dan menarik bagi murid-murid berfikir mengenainya
6. menggalakkan murid-muird bertanyakan soalan mengenai pelajaran
7. hadir dalam lain-lain aktiviti di mana murid-murid terlibat seperti sukan, persembahan musikal dn kebudayaan.

b. Terhadap Mengajar:
1. melakukan refleksi dan kritik-kendiri, mercu tanda profesionalisme seorang guru
2. berfikir secara sistematik mengenai amalannya dan belajar daripada pengalaman
3. adil dalam menilai dan menggred
4. fleksibel dalam pendekatan-pendekatan pengajaran dan pembelajaran
5. bersemangat dalam mengajar, murid-murid dalam sesuatu mata pelajaran
6. seorang komunikator yang cemerlang; mampu menjadikan idea-idea yang kompleks mudah difahami dengan itu murid-murid dapat memahami dan menghargainya
7. sering mengukur kemajuan dan memberikan maklumbalas kepada murid-murid
8. merancang pengajaran terlebih dahulu, beri masa yang cukup bagi setiap tajuk, dan menyepadukan mata pelajaran
9. secara berterusan mengukur pendekatan, syarahan dan ujian-ujian bagi memastikan kurikulum yang sentiasa 'baru dan segar' serta relevan
10. menyertai jawatankuasa-jawatankuasa bagi menambahbaik sekolah, jabatan atau dirinya sendiri.

c. Terhadap Disiplin:
1. seorang yang pakar dalam bidang yang dia ajar
2. seorang yang 'laparkan' ilmu; sentiasa up to date dalam bidangnya dengan membaca; menghadiri konferens, konvensyen, bengkel dan seminar; dan mengikuti kursus-kursus dalam perkhidmatan
3. juga seorang yang suka 'belajar' perkara-perkara di luar bidangnya
4. aktif dalam penubuhan profesional dan menggalakkan rakan sejawat menyertainya
5. menjadi ahli kepada komuniti yang belajar
6. bina dan mengekalkan perhubungan profesional
7. bekerja dalam organisasi sekolah yang luas
2.4 Guru Profesional

Insan guru yang seimbang sememangnya mereka yang tergolong daripada mereka yang profesional. Guru yang profesional mampu menjamin dan menjana murid-murid yang seimbang secara keseluruhannya.

Setiap sesuatu di dunia ini mempunyai dua wajah; positif atau negatif; hitam atau putih; buruk atau baik; cemerlang atau kecundang; begitu juga sikap dan perlakuan kita sebagai guru-guru yang bukan sahaja profesional sifatnya malah menunjukkan ciri-ciri profesionaliti yang tinggi sepanjang masa.

2.4.1 Ciri-ciri Guru Profesional
Antara ciri-ciri membezakan antara guru yang profesional dengan guru yang tidak; rujuk senarai semak berikut, dan marilah kita menukar sikap, persepsi dan posisi kita agar menjadi lebih perkasa dan berwibawa dalam melaksanakan tugas mulia sebagai seorang guru.


Guru yang Profesional Guru yang tidak Profesional

Mula kerja awal pagi Mula kerja setelah loceng berbunyi

Sedia bergerak awal hari Sudah pun letih di awal pagi

Mengurus dengan merancang Mengurus dengan krisis

Ada perancangan & matlamat Ada berbagai alasan

Berpakaian secara 'profesional' Berpakaian selekeh

Guna waktu luang sebagai waktu Guna waktu luang mengumpat dan 'kerja' mengeji

Suka ikuti latihan kerana berikan perkem- Komplen tentang latihan dan pelik bangan profesional mengapa ianya perlu


Kesimpulannya, guru yang mempunyai tahap profesional yang tinggi akan berjaya menjalankan tugas dengan sempurna. Semua ciri-ciri profesional yang dibincangkan tadi jika dirangkum akan melahirkan guru yang hebat dan seimbang, bukan sahaja menjadi aspirasi murid bahkan seluruh rakyat.

3. Ciri-ciri Insan Guru Yang Seimbang (Perspektif Muslim)

Jika seseorang guru berhasrat untuk menjadikan dirinya insan guru seperti yang tersirat dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan, guru tersebut perlulah memiliki ciri-ciri yang berkualiti iaitu berpengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, dan amanah dalam menjalankan tugas.

Menurut Prof Omar al-Toumi al-Syibani sifat dan ciri seorang guru muslim hendaklah merangkumi:

3.1 Sifat Rohaniah

1. Keimanan yang kental kepada Allah yang maha sempurna
2. Keimanan kepada hari akhirat, hari pembalasan dan seluruh para Rasul
3. Sifat-sifat keimanan asas yang lain

3.2 Sifat-Sifat Akhlak

1. Benar dan jujur
2. Menepati janji
3. Amanah
4. Ikhlas dalam perkataan dan perbuatan
5. Merendah diri
6. Sabar, tabah dan cekal
7. Pemaaf dan toleransi
8. Menyayangi murid, mementingkan orang lain, pemurah, zuhud dan qanaah



3.3 Sifat Mental, Kejiwaan dan Jasmani

3.3.1 Sifat Mental
1. Cerdas (Kepintaran teori, amali dan sosial)
2. Menguasai mata pelajaran takhassus
3. Luas pengetahuan am
4. Cenderung kepada pelbagai bidang akliah, dan ilmiah yang sihat
5. Mengenal ciri, watak, kecenderungan dan keperluan murid
6. Fasih, bijak dan petah dalam penyampaian

3.3.2 Sifat Kejiwaan
1. Sifat tenang dan emosi yang mantap
2. Optimistik dalam hidup, penuh harap kepada Allah dan tenang jiwa bila mengingatiNya.
3. Kepercayaan kepada diri dan mempunyai kemahuan yang kuat
4. Bersifat lemah lembut dan baik dalam pergaulan
5. Berfikiran selesa dan boleh menyesuaikan diri dengan masyarakat

3.3.3 Sifat Fizikal
1. Sihat tubuh badan dan terhindar dari penyakit berjangkit atau tidak berjangkit
2. Berperawakan tampan, kemas dan bersih.

4. Kesimpulan

Cabaran yang dihadapi oleh para guru dalam mengajar murid-murid zaman ini bukanlah suatu yang mudah. Guru berhadapan dengan kenakalan remaja yang semakin serius. Oleh yang demikian, guru seharus bersedia dalam apa jua bentuk ujian mendatang. Guru seimbang adalah mereka yang berkesan dalam melakukan tangggungjawab dan ‘perkasa’ dalam menempuhi arus dunia global. Tanpa guru yang bersedia sepenuhnya dan kerjasama semua pihak proses pendidikan tidak akan berjaya menghasilkan generasi yang baik untuk masyarakat dan negara Malaysia.

Bibliografi

Sumber Utama:

http://www.angelfire.com/journal2/fakir_zamani/


Sumber Sampingan:

Hussein Mahmood (1993) Kepemimpinan dan Keberkesanan Sekolah. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Hj. Abdul Ghani Samsudin (2004). Sahsiah Guru Muslim dan Keberkesanan Pendidikan Islam. Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya.

http://www.bernama.com/bernama/v3/

___________________(2001); Penyataan Dasar Standard Tinggi Kualiti Pendidikan.
Jemaah Nazir Sekolah Persekutuan, Kementerian Pendidikan Malaysia, Kuala Lumpur.

Norhashim Abu Samah, Mazenah Youp, Rosalinda Alias (1996), Pengajaran Bantuan Komputer. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa & Pustaka.

Sejauh manakah Etika Profesion Keguruan dapat membantu guru menangani cabaran dalam dunia pendidikan pada hari ini.

1. Pengenalan:
Cabaran Dunia Pendidikan dan Kepentingan Etika Kerja


" Guru-guru perlu dapat menyampaikan ilmu pengetahuan secara
berkesan, menjadi pembimbing yang dihormati dan memastikan
diri masing-masing dapat dijadikan contoh kepada pelajar. Oleh
itu pada setiap masa, kaum guru sekalian hendaklah menampilkan
watak terpuji, berimej, berperibadi mulia dan berwawasan sebagai
pendidik yang unggul." Dato' Dr. Abdul Shukor Abdullah.


Profesion guru dan pendidik terutamanya dalam zaman-zaman mencabar ini bukanlah semudah yang disangka - kerjanya separuh hari dan cutinya panjang. Sebagai arkitek sosial, guru mempunyai tanggungjawab yang amat besar, bukan sekadar memberi pendidikan dan menyampaikan ilmu. Gurulah insan yang dipertanggungjawabkan untuk merealisasikan transformasi pendidikan yang dicita-citakan oleh negara. Justeru kegagalan sesebuah masyarakat untuk berfungsi dengan sempurna kerap dikaitkan dengan kegagalan sistem pendidikan sesebuah negara.
Lebih daripada itu, guru juga perlu menjadi model utama kepada anak didiknya. Oleh itu mereka perlu berjiwa besar. Bukan sembarangan orang layak menjadi guru. Hanya mereka yang luhur jiwa dan kental semangatnya yang sanggup mencurahkan bakti untuk menjadi guru. Kecintaan terhadap profesion ini juga seharusnya bukan sekadar secara luarannya sahaja, sebaliknya sifat keguruan itu perlu mendarah daging.
Selain itu, guru sering dikaitkan sebagai agen perubahan dalam agenda sosial, politik dan ekonomi. Perubahan-perubahan yang dikehendaki oleh kerajaan selalunya disalurkan melalui falsafah dan matlamat ( juga merupakan input ) yang perlu diterjemahkan oleh guru sekolah dalam aktiviti kurikulum dan ko kurikulum.

Falsafah Pendidikan Negara (PPN) pula memberikan matlamat yang jelas mengenai jenis manusia yang ingin dilahirkan oleh sistem kita. Pendekatan melahirkan insan harmoni dan seimbang perlu mendapat dukungan yang lebih bermakna supaya faktor perubahan yang berlaku tidak menjejaskan matlamat pendidikan itu sendiri. Bagi memberi tindak balas kepada faktor globalisasi, sistem kita harus mampu mendepani cabaran zaman. Untuk menjadikan pendidikan di Malaysia bertaraf dunia, ia tidak boleh terpencil dari arus pendidikan dunia. Tapi keterbukaan kita terhadap pengaruh di luar lingkungan jangan sampai menjadikan kita kehilangan jatidiri.

Alaf baru ditandai dengan kebangkitan revolusi maklumat dan multimedia yang amat besar pengaruhnya terhadap penyebaran sistem maklumat yang bukan saja memberi kesan terhadap pembinaan minda generasi muda tapi mencorakkan gaya hidup yang amat unik di kalangan mereka. Oleh itu, pendidikan tidak hanya dibatasi dengan meletakkan pendidik sebagai fasilitator semata-mata. Konsep fasilitator dalam konteks budaya bestari mestilah mampu menghubungkan kemajuan teknologi sebagai alat dan kandungan maklumat mesti mampu membangunkan sahsiah. Justeru itu aspek keinsanan seperti hubungan guru dengan murid mestilah dalam konteks pendidik sebagai model contoh yang memberikan imej teladan.

Oleh yang demikian, bagi memastikan jatidiri guru terus utuh, seseorang guru haruslah mematuhi Etika Profesion Keguruan. Etika ini merupakan panduan tingkah laku yang menjadi pegangan guru berlandaskan nilai-nilai akhlak mulia. Melalui etika inilah masyarakat boleh menganilisis, menilai serta menentukan sama ada tingkah laku guru telah mengikut peraturan yang ditetapkan atau sebaliknya. Melalui etika ini juga dapat membantu guru menangani cabaran dalam dunia pendidikan yang begitu mencabar dewasa ini.


2. Etika Guru

Pada zaman yang mencabar ini, guru yang beretika akan sentiasa menanamkan sikap positif dan menghapuskan sikap negatif dalam melaksanakan tugas-tugas yang diamalkan bagi meningkatkan kualiti kerja. Jika seseorang guru itu berjaya menghayati dan melaksanakan tanggungjawab-tanggungjawabnya dengan sempurna pasti ianya dapat membantu guru tersebut menangani cabaran dalam dunia pendidikan pada hari ini. Etika seseorang guru yang dimaksudkan itu ialah:
a. Tanggungjawab terhadap Tuhan
b. Tanggungjawab terhadap Diri
c. Tanggungjawab terhadap Ilmu
d. Tanggungjawab terhadap Profesion
e. Tanggungjawab terhadap Pelajar
f. Tanggungjawab terhadap Rakan Sejawat
g. Tanggungjawab terhadap Masyarakat dan Negara
h. Tanggungjawab terhadap Ibu Bapa

Tanggungjawab Terhadap Tuhan
Seorang guru hendaklah sentiasa memantapkan keyakinan/keimanan kepada tuhan di samping mengukuhkan hubungannya yang berterusan denganNya. Guru tersebut juga hendaklah sentiasa beriltizam semangat berbakti dan beramal soleh menjadi amalan harian. Guru mesti melaksanakan kewajiban agama, menghindari larangan tuhan dan menyempurnakan segala hak dan tanggungjawab yang berkaitan dengannya. Guru juga hendaklah bersyukur di samping selalu berdoa kepada tuhan memohon diberkati perjuangannya.

Tanggungjawab Terhadap Diri
Guru muslim hendaklah memastikan keselamatan diri sendiri, sama ada dari aspek fizikal, emosional, mental mahupun moral. Seorang guru juga mestilah prihatin terhadap kebersihan diri, pakaian, perawakan dan tempat tinggal. Selain itu guru juga seharusnya memahami kekuatan dan kelemahan diri untuk boleh dimanfaatkan serta ditingkatkan dari segenap aspek. Guru juga mesti berusaha untuk meningkatkan kesejahteraan diri agar dapat berkhidmat selama dan sebanyak mungkin kepada tuhan, masyarakat dan negara. Akhirnya guru mestilah melibatkan diri dengan program dan agenda yang boleh meningkatkan kualiti profesion sebagai seorang guru.

Tanggungjawab Terhadap Ilmu
Guru hendaklah memastikan penguasaan ilmu secara mantap dan mendalam, beriltizam dengan amanah ilmiah, prihatin untuk mengamalkan dan mengembangkan ilmu yang dipelajari. Seseorang guru juga hendaklah sentiasa mengikuti perkembangan teknologi terbaru dalam pengajaran ilmu yang berkaitan.Dari semasa ke semasa guru hendaklah sentiasa memanfaatkan ilmu untuk tujuan kemanusiaan, kesejahteraan dan keamanan umat manusia sejagat.

Tanggungjawab Terhadap Profesion
Seorang guru handaklah menjaga nama baik dan tidak mencemarkan sifat profesionnya yang mana menyebabkan kurang kepercayaan orang ramai terhadap profesion perguruan. Dia juga tidaklah harus bertingkah laku yang boleh membawa kepada jatuhnya maruah diri dan kehilangan amanah berhubung dengan kewangan. Dalam semua hubungan dan tugas seseorang guru hendaklah menjalankannya dengan jujur. Tanggungjawab utama seseorang guru ialah terhadap pelajarnya. Kepentingan para pelajarnya haruslah mengatasi semua kepentingan lain seperti kepentingan masyarakat, persatuan atau persendirian. Dia haruslah menumpukan perhatian dan pengajaran untuk semua pelajar tidak kira bangsa, agama atau kepercayaan. Dia juga haruslah bertugas sebagai pengganti ibu bapa dalam usaha membentuk tingkah laku para pelajar ke arah matlamat-matlamat yang diterima oleh masyarakat. Guru juga haruslah menumpukan perhatian terhadap keperluan setiap pelajarnya. Dia haruslah mendidik dan mengambil tindakan secara adil terhadap semua pelajar tidak kira bangsa, warna, jantina, bahasa, agama, kepercayaan politik, tempat asal keluarga, intelek, akademik dan status-status lain. Selain itu, guru harus mengesan dan menerima perbezaan individu di kalangan pelajar dan memandu mereka memperkembangkan potensi mereka dari segi jasmani, intelek, daya cipta dan rohani. Guru juga harus menghormati hak setiap pelajar supaya maklumat-maklumat sulit mengenai diri para pelajar tidak diberitahu kepada orang atau agensi lain yang tidak berkenaan. Dia tidaklah harus bertingkah laku buruk terhadap para pelajarnya yang boleh membawa jatuhnya darjat profesion perguruan. Dia tidaklah harus mengajar sesuatu yang boleh merosakkan kepentingan pelajar, masyarakat awam atau negara. Seseorang guru haruslah menanamkan sikap yang baik terhadap para pelajarnya supaya mereka dapat berkembang menjadi warga negara yang taat setia dan beragama. Dia tidaklah harus menyatakan atau membuat sesuatu yang boleh mengurangkan keyakinan diri para pelajarnya dan ibubapanya. Guru haruslah bertingkah laku baik supaya menjadi contoh yang baik terhadap pelajar. Dia tidaklah harus menerima apa-apa bayaran daripada para pelajarnya untuk pelajaran atau pengajaran tambahan yang dijalankan semasa waktu sekolah atau cuti sekolah melainkan bayaran-bayaran yang disahkan. Seterusnya guru tidaklah harus mengiklankan dirinya untuk kerja-kerja tuisyen atau pengajaran persendirian. Dia tidaklah harus memaksa kepercayaan keagamaan, politik persendirian terhadap para pelajarnya. Dia juga tidaklah harus meminta atau menerima hadiah daripada ibu bapa para pelajar atau ahli-ahli masyarakat dalam menjalankan tugas-tugas profesionnya. Guru juga tidaklah harus menjatuhkan nama baik guru-guru lain. Untuk mendapatkan pekerjaan atau kenaikan pangkat dia haruslah menggunakan cara-cara yang sah sahaja (iaitu berdasarkan kecekapan). Dia tidaklah harus mengiklankan dirinya dengan cara membesar-membesarkan namanya untuk mendapatkan sesuatu pangkat dalam profesion perguruan.

Tanggungjawab Terhadap Pelajar
Seseorang guru hendaklah lebih mengutamakan kebajikan dan keselamatan pelajar dari hal-hal lain. Mereka juga harus bersikap adil terhadap setiap seorang tanpa mengira faktor-faktor jasmani, mental, emosi, politik, ekonomi, sosial, keturunan dan agama. Seterusnya seorang guru hendaklah menampilkan suatu cara pakaian, pertuturan dan tingkah laku yang dapat memberikan contoh yang baik kepada pelajar. Guru juga seharusnya membimbing atau mengajar seseorang pelajar dalam kelas sendiri atau dalam mata-mata pelajaran yang diajar dalam kelas tanpa sebarang bayaran. Selain itu, guru hendaklah memelihara dan memperbaiki kecekapan ikhtisas melalui pengkajian, lawatan dan menghadiri kursus ikhtisas, persidangan, mesyuarat atau seminar supaya pengajaran mencapai mutu yang setinggi-tingginya.

Tanggungjawab Terhadap Rakan Sejawat
Seseorang guru hendaklah mengelakkan diri daripada membuat sebarang kenyataan atau ulasan yang boleh mencemarkan nama baik seseorang guru di hadapan pelajar atau ibu bapa, atau berbuat sesuatu yang boleh menjatuhkan maruah seseorang guru. Guru juga tidak melibatkan diri dalam kegiatan yang boleh menjejaskan kecekapan sebagai guru. Berusaha dengan sepenuhnya menunaikan tanggungjawab dengan rajin dan bersungguh-sungguh dan mengekalkan kemajuan ikhtisas dan sosial. Guru hendaklah sentiasa bersedia membantu rakan sejawat terutamanya mereka yang baru dalam profesion perguruan. Guru seharusnya sentiasa mengawasi diri supaya tidak mencemarkan nama baik profesion perguruannya.

Tanggungjawab Terhadap Masyarakat dan Negara
Guru hendaklah mengelakkan diri daripada meyebarkan sesuatu ajaran yang boleh merosakkan kepentingan pelajar, masyarakat atau negara, ataupun yang boleh bertentangan dengan Rukunegara. Selain itu, gurumestilah memupuk dalam diri setiap pelajar sikap dan nilai yang boleh membantu dan membimbing mereka untuk menjadi warga negara yang taat setia, bertanggungjawab dan berguna, menghormati orang-orang yang lebih tua dan menghormati adanya perbezaan kebudayaan, keturunan dan agama.
Guru juga hendaklah menghormati masyarakat tempat mereka berkhidmat dan memenuhi segala tanggungjawab sebagai seorang warganegara dan sentiasa sanggup mengambil bahagian dalam sebarang kegiatan masyarakat. Seterusnya guru sentiasa menggalakkan kerjasama dan persefahaman di antara guru dengan ibu bapa, institusi pendidikan dengan masyarakat. Guru hendaklah memberi sumbangan cergas untuk meninggikan tahap kehidupan morality, kebudayaan dan kecendikiawanan masyarakat. Akhirnya guru seharusnya berpegang kepada tingkah laku yang sopan yang diterima oleh masyarakat dan menjalani kehidupan harian dengan baik.

Tanggungjawab Terhadap Ibu Bapa
Seseorang guru semestinya menghormati tanggungjawab utama ibu bapa terhadap anak-anak mereka. Guru hendaklah berusaha mewujudkan hubungan mesra dan kerjasama yang erat di antara institusi pendidikan dengan rumahtangga. Guru menganggap semua maklumat yang diberikan oleh ibu bapa mengenai keadaan rumahtangga atau anak mereka sebagai sulit dan tidak akan membocorkannya kepada sesiapa kecuali kepada mereka yang berhak mengetahuinya. Guru juga seharusnya memberikan maklumat kepada ibu bapa demi kepentingan anak-anak mereka, dan menggunakan maklumat yang diterima daripada ibu bapa secara teliti dan bijaksana. Guru hendaklah mengelakkan diri daripada penggunaan atau dipengaruhi oleh kedudukan sosial dan ekonomi ibu bapa pelajar. Selain itu guru juga hendaklah mengelakkan diri daripada mengeluarkan kata-kata atau melakukan sesuatu yang boleh menjejaskan kepercayaan pelajar terhadap ibu bapa atau penjaga mereka.

3. Kesimpulan

Kod etika keguruan yang dibincangkan diatas kalau benar-benar dipatuhi dan diamalkan akan membantu keberkesanan pengajaran guru dan membantu guru menghadapi pelbagai cabaran di dalam dunia pendidikan hari ini. Etika Kerja Kementerian Pelajaran Malaysia yang berlandas prinsip-prinsip seperti niat yang betul, perlakuan yang baik, pengerak ke arah kebaikan, memperkotakan apa yang dikatakan, berdisiplin dan beradab serta menghargai dan bertanggungjawab hasil usaha organisasi akan dapat dihayati sepenuhnya jika seseorang guru mampu bertindak dengan jelas terhadap tanggungjawabnya. Dan kita tidak mungkin menjadi efisien jika kita bukan seorang guru yang beretika dan bermoral; jika kita seorang guru yang tidak ada prinsip; jika kita seorang yang buta mata hati; jika kita seorang guru yang tahu tapi tidak mahu; atau jika kita seorang guru yang ada ilmu tapi tidak beramal dengan ilmunya.
Setiap dari kita pasti mampu dan berjaya menjadi seorang guru yang beretika dan seterusnya berjaya jika kita menghayati sabda Rasulullah s.a.w. yang mafhumnya;
"Barangsiapa yang amalannya hari ini lebih baik dari semalam;
dia adalah orang yang beruntung.
Barangsiapa yang amalannya hari ini sama dengan yang semalam,
dia adalah orang yang rugi.
Dan barangsiapa yang amalannya hari ini lebih buruk dari hari semalam,
dia tergolong orang yang dilaknat Allah S.W.T."



Bibliografi

Sumber Utama:

Hj. Abdul Ghani Samsudin (2004). Sahsiah Guru Muslim dan Keberkesanan Pendidikan Islam. Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya.


Sumber Sampingan:

Wan Liz Ozman Wan Omar (2000). Mengurus Agenda Abad 21 : Cabaran Dan Persiapan Dalam Era Globalisasi, Golden Books Centre Sdn. Bhd. Kuala Lumpur.

Norhashim Abu Samah, Mazenah Youp, Rosalinda Alias (1996), Pengajaran Bantuan Komputer. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa & Pustaka.

Hussein Mahmood (1993) Kepemimpinan dan Keberkesanan Sekolah. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Hj. Abdul Ghani Samsudin (2004). Sahsiah Guru Muslim dan Keberkesanan Pendidikan Islam. Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya.

http://www.bernama.com/bernama/v3/

___________________(2001); Penyataan Dasar Standard Tinggi Kualiti Pendidikan.
Jemaah Nazir Sekolah Persekutuan, Kementerian Pendidikan Malaysia, Kuala Lumpur.

Yahoo!

Yahoo!