Guru Sejati

Thursday, July 21, 2005

Sejauh manakah Etika Profesion Keguruan dapat membantu guru menangani cabaran dalam dunia pendidikan pada hari ini.

1. Pengenalan:
Cabaran Dunia Pendidikan dan Kepentingan Etika Kerja


" Guru-guru perlu dapat menyampaikan ilmu pengetahuan secara
berkesan, menjadi pembimbing yang dihormati dan memastikan
diri masing-masing dapat dijadikan contoh kepada pelajar. Oleh
itu pada setiap masa, kaum guru sekalian hendaklah menampilkan
watak terpuji, berimej, berperibadi mulia dan berwawasan sebagai
pendidik yang unggul." Dato' Dr. Abdul Shukor Abdullah.


Profesion guru dan pendidik terutamanya dalam zaman-zaman mencabar ini bukanlah semudah yang disangka - kerjanya separuh hari dan cutinya panjang. Sebagai arkitek sosial, guru mempunyai tanggungjawab yang amat besar, bukan sekadar memberi pendidikan dan menyampaikan ilmu. Gurulah insan yang dipertanggungjawabkan untuk merealisasikan transformasi pendidikan yang dicita-citakan oleh negara. Justeru kegagalan sesebuah masyarakat untuk berfungsi dengan sempurna kerap dikaitkan dengan kegagalan sistem pendidikan sesebuah negara.
Lebih daripada itu, guru juga perlu menjadi model utama kepada anak didiknya. Oleh itu mereka perlu berjiwa besar. Bukan sembarangan orang layak menjadi guru. Hanya mereka yang luhur jiwa dan kental semangatnya yang sanggup mencurahkan bakti untuk menjadi guru. Kecintaan terhadap profesion ini juga seharusnya bukan sekadar secara luarannya sahaja, sebaliknya sifat keguruan itu perlu mendarah daging.
Selain itu, guru sering dikaitkan sebagai agen perubahan dalam agenda sosial, politik dan ekonomi. Perubahan-perubahan yang dikehendaki oleh kerajaan selalunya disalurkan melalui falsafah dan matlamat ( juga merupakan input ) yang perlu diterjemahkan oleh guru sekolah dalam aktiviti kurikulum dan ko kurikulum.

Falsafah Pendidikan Negara (PPN) pula memberikan matlamat yang jelas mengenai jenis manusia yang ingin dilahirkan oleh sistem kita. Pendekatan melahirkan insan harmoni dan seimbang perlu mendapat dukungan yang lebih bermakna supaya faktor perubahan yang berlaku tidak menjejaskan matlamat pendidikan itu sendiri. Bagi memberi tindak balas kepada faktor globalisasi, sistem kita harus mampu mendepani cabaran zaman. Untuk menjadikan pendidikan di Malaysia bertaraf dunia, ia tidak boleh terpencil dari arus pendidikan dunia. Tapi keterbukaan kita terhadap pengaruh di luar lingkungan jangan sampai menjadikan kita kehilangan jatidiri.

Alaf baru ditandai dengan kebangkitan revolusi maklumat dan multimedia yang amat besar pengaruhnya terhadap penyebaran sistem maklumat yang bukan saja memberi kesan terhadap pembinaan minda generasi muda tapi mencorakkan gaya hidup yang amat unik di kalangan mereka. Oleh itu, pendidikan tidak hanya dibatasi dengan meletakkan pendidik sebagai fasilitator semata-mata. Konsep fasilitator dalam konteks budaya bestari mestilah mampu menghubungkan kemajuan teknologi sebagai alat dan kandungan maklumat mesti mampu membangunkan sahsiah. Justeru itu aspek keinsanan seperti hubungan guru dengan murid mestilah dalam konteks pendidik sebagai model contoh yang memberikan imej teladan.

Oleh yang demikian, bagi memastikan jatidiri guru terus utuh, seseorang guru haruslah mematuhi Etika Profesion Keguruan. Etika ini merupakan panduan tingkah laku yang menjadi pegangan guru berlandaskan nilai-nilai akhlak mulia. Melalui etika inilah masyarakat boleh menganilisis, menilai serta menentukan sama ada tingkah laku guru telah mengikut peraturan yang ditetapkan atau sebaliknya. Melalui etika ini juga dapat membantu guru menangani cabaran dalam dunia pendidikan yang begitu mencabar dewasa ini.


2. Etika Guru

Pada zaman yang mencabar ini, guru yang beretika akan sentiasa menanamkan sikap positif dan menghapuskan sikap negatif dalam melaksanakan tugas-tugas yang diamalkan bagi meningkatkan kualiti kerja. Jika seseorang guru itu berjaya menghayati dan melaksanakan tanggungjawab-tanggungjawabnya dengan sempurna pasti ianya dapat membantu guru tersebut menangani cabaran dalam dunia pendidikan pada hari ini. Etika seseorang guru yang dimaksudkan itu ialah:
a. Tanggungjawab terhadap Tuhan
b. Tanggungjawab terhadap Diri
c. Tanggungjawab terhadap Ilmu
d. Tanggungjawab terhadap Profesion
e. Tanggungjawab terhadap Pelajar
f. Tanggungjawab terhadap Rakan Sejawat
g. Tanggungjawab terhadap Masyarakat dan Negara
h. Tanggungjawab terhadap Ibu Bapa

Tanggungjawab Terhadap Tuhan
Seorang guru hendaklah sentiasa memantapkan keyakinan/keimanan kepada tuhan di samping mengukuhkan hubungannya yang berterusan denganNya. Guru tersebut juga hendaklah sentiasa beriltizam semangat berbakti dan beramal soleh menjadi amalan harian. Guru mesti melaksanakan kewajiban agama, menghindari larangan tuhan dan menyempurnakan segala hak dan tanggungjawab yang berkaitan dengannya. Guru juga hendaklah bersyukur di samping selalu berdoa kepada tuhan memohon diberkati perjuangannya.

Tanggungjawab Terhadap Diri
Guru muslim hendaklah memastikan keselamatan diri sendiri, sama ada dari aspek fizikal, emosional, mental mahupun moral. Seorang guru juga mestilah prihatin terhadap kebersihan diri, pakaian, perawakan dan tempat tinggal. Selain itu guru juga seharusnya memahami kekuatan dan kelemahan diri untuk boleh dimanfaatkan serta ditingkatkan dari segenap aspek. Guru juga mesti berusaha untuk meningkatkan kesejahteraan diri agar dapat berkhidmat selama dan sebanyak mungkin kepada tuhan, masyarakat dan negara. Akhirnya guru mestilah melibatkan diri dengan program dan agenda yang boleh meningkatkan kualiti profesion sebagai seorang guru.

Tanggungjawab Terhadap Ilmu
Guru hendaklah memastikan penguasaan ilmu secara mantap dan mendalam, beriltizam dengan amanah ilmiah, prihatin untuk mengamalkan dan mengembangkan ilmu yang dipelajari. Seseorang guru juga hendaklah sentiasa mengikuti perkembangan teknologi terbaru dalam pengajaran ilmu yang berkaitan.Dari semasa ke semasa guru hendaklah sentiasa memanfaatkan ilmu untuk tujuan kemanusiaan, kesejahteraan dan keamanan umat manusia sejagat.

Tanggungjawab Terhadap Profesion
Seorang guru handaklah menjaga nama baik dan tidak mencemarkan sifat profesionnya yang mana menyebabkan kurang kepercayaan orang ramai terhadap profesion perguruan. Dia juga tidaklah harus bertingkah laku yang boleh membawa kepada jatuhnya maruah diri dan kehilangan amanah berhubung dengan kewangan. Dalam semua hubungan dan tugas seseorang guru hendaklah menjalankannya dengan jujur. Tanggungjawab utama seseorang guru ialah terhadap pelajarnya. Kepentingan para pelajarnya haruslah mengatasi semua kepentingan lain seperti kepentingan masyarakat, persatuan atau persendirian. Dia haruslah menumpukan perhatian dan pengajaran untuk semua pelajar tidak kira bangsa, agama atau kepercayaan. Dia juga haruslah bertugas sebagai pengganti ibu bapa dalam usaha membentuk tingkah laku para pelajar ke arah matlamat-matlamat yang diterima oleh masyarakat. Guru juga haruslah menumpukan perhatian terhadap keperluan setiap pelajarnya. Dia haruslah mendidik dan mengambil tindakan secara adil terhadap semua pelajar tidak kira bangsa, warna, jantina, bahasa, agama, kepercayaan politik, tempat asal keluarga, intelek, akademik dan status-status lain. Selain itu, guru harus mengesan dan menerima perbezaan individu di kalangan pelajar dan memandu mereka memperkembangkan potensi mereka dari segi jasmani, intelek, daya cipta dan rohani. Guru juga harus menghormati hak setiap pelajar supaya maklumat-maklumat sulit mengenai diri para pelajar tidak diberitahu kepada orang atau agensi lain yang tidak berkenaan. Dia tidaklah harus bertingkah laku buruk terhadap para pelajarnya yang boleh membawa jatuhnya darjat profesion perguruan. Dia tidaklah harus mengajar sesuatu yang boleh merosakkan kepentingan pelajar, masyarakat awam atau negara. Seseorang guru haruslah menanamkan sikap yang baik terhadap para pelajarnya supaya mereka dapat berkembang menjadi warga negara yang taat setia dan beragama. Dia tidaklah harus menyatakan atau membuat sesuatu yang boleh mengurangkan keyakinan diri para pelajarnya dan ibubapanya. Guru haruslah bertingkah laku baik supaya menjadi contoh yang baik terhadap pelajar. Dia tidaklah harus menerima apa-apa bayaran daripada para pelajarnya untuk pelajaran atau pengajaran tambahan yang dijalankan semasa waktu sekolah atau cuti sekolah melainkan bayaran-bayaran yang disahkan. Seterusnya guru tidaklah harus mengiklankan dirinya untuk kerja-kerja tuisyen atau pengajaran persendirian. Dia tidaklah harus memaksa kepercayaan keagamaan, politik persendirian terhadap para pelajarnya. Dia juga tidaklah harus meminta atau menerima hadiah daripada ibu bapa para pelajar atau ahli-ahli masyarakat dalam menjalankan tugas-tugas profesionnya. Guru juga tidaklah harus menjatuhkan nama baik guru-guru lain. Untuk mendapatkan pekerjaan atau kenaikan pangkat dia haruslah menggunakan cara-cara yang sah sahaja (iaitu berdasarkan kecekapan). Dia tidaklah harus mengiklankan dirinya dengan cara membesar-membesarkan namanya untuk mendapatkan sesuatu pangkat dalam profesion perguruan.

Tanggungjawab Terhadap Pelajar
Seseorang guru hendaklah lebih mengutamakan kebajikan dan keselamatan pelajar dari hal-hal lain. Mereka juga harus bersikap adil terhadap setiap seorang tanpa mengira faktor-faktor jasmani, mental, emosi, politik, ekonomi, sosial, keturunan dan agama. Seterusnya seorang guru hendaklah menampilkan suatu cara pakaian, pertuturan dan tingkah laku yang dapat memberikan contoh yang baik kepada pelajar. Guru juga seharusnya membimbing atau mengajar seseorang pelajar dalam kelas sendiri atau dalam mata-mata pelajaran yang diajar dalam kelas tanpa sebarang bayaran. Selain itu, guru hendaklah memelihara dan memperbaiki kecekapan ikhtisas melalui pengkajian, lawatan dan menghadiri kursus ikhtisas, persidangan, mesyuarat atau seminar supaya pengajaran mencapai mutu yang setinggi-tingginya.

Tanggungjawab Terhadap Rakan Sejawat
Seseorang guru hendaklah mengelakkan diri daripada membuat sebarang kenyataan atau ulasan yang boleh mencemarkan nama baik seseorang guru di hadapan pelajar atau ibu bapa, atau berbuat sesuatu yang boleh menjatuhkan maruah seseorang guru. Guru juga tidak melibatkan diri dalam kegiatan yang boleh menjejaskan kecekapan sebagai guru. Berusaha dengan sepenuhnya menunaikan tanggungjawab dengan rajin dan bersungguh-sungguh dan mengekalkan kemajuan ikhtisas dan sosial. Guru hendaklah sentiasa bersedia membantu rakan sejawat terutamanya mereka yang baru dalam profesion perguruan. Guru seharusnya sentiasa mengawasi diri supaya tidak mencemarkan nama baik profesion perguruannya.

Tanggungjawab Terhadap Masyarakat dan Negara
Guru hendaklah mengelakkan diri daripada meyebarkan sesuatu ajaran yang boleh merosakkan kepentingan pelajar, masyarakat atau negara, ataupun yang boleh bertentangan dengan Rukunegara. Selain itu, gurumestilah memupuk dalam diri setiap pelajar sikap dan nilai yang boleh membantu dan membimbing mereka untuk menjadi warga negara yang taat setia, bertanggungjawab dan berguna, menghormati orang-orang yang lebih tua dan menghormati adanya perbezaan kebudayaan, keturunan dan agama.
Guru juga hendaklah menghormati masyarakat tempat mereka berkhidmat dan memenuhi segala tanggungjawab sebagai seorang warganegara dan sentiasa sanggup mengambil bahagian dalam sebarang kegiatan masyarakat. Seterusnya guru sentiasa menggalakkan kerjasama dan persefahaman di antara guru dengan ibu bapa, institusi pendidikan dengan masyarakat. Guru hendaklah memberi sumbangan cergas untuk meninggikan tahap kehidupan morality, kebudayaan dan kecendikiawanan masyarakat. Akhirnya guru seharusnya berpegang kepada tingkah laku yang sopan yang diterima oleh masyarakat dan menjalani kehidupan harian dengan baik.

Tanggungjawab Terhadap Ibu Bapa
Seseorang guru semestinya menghormati tanggungjawab utama ibu bapa terhadap anak-anak mereka. Guru hendaklah berusaha mewujudkan hubungan mesra dan kerjasama yang erat di antara institusi pendidikan dengan rumahtangga. Guru menganggap semua maklumat yang diberikan oleh ibu bapa mengenai keadaan rumahtangga atau anak mereka sebagai sulit dan tidak akan membocorkannya kepada sesiapa kecuali kepada mereka yang berhak mengetahuinya. Guru juga seharusnya memberikan maklumat kepada ibu bapa demi kepentingan anak-anak mereka, dan menggunakan maklumat yang diterima daripada ibu bapa secara teliti dan bijaksana. Guru hendaklah mengelakkan diri daripada penggunaan atau dipengaruhi oleh kedudukan sosial dan ekonomi ibu bapa pelajar. Selain itu guru juga hendaklah mengelakkan diri daripada mengeluarkan kata-kata atau melakukan sesuatu yang boleh menjejaskan kepercayaan pelajar terhadap ibu bapa atau penjaga mereka.

3. Kesimpulan

Kod etika keguruan yang dibincangkan diatas kalau benar-benar dipatuhi dan diamalkan akan membantu keberkesanan pengajaran guru dan membantu guru menghadapi pelbagai cabaran di dalam dunia pendidikan hari ini. Etika Kerja Kementerian Pelajaran Malaysia yang berlandas prinsip-prinsip seperti niat yang betul, perlakuan yang baik, pengerak ke arah kebaikan, memperkotakan apa yang dikatakan, berdisiplin dan beradab serta menghargai dan bertanggungjawab hasil usaha organisasi akan dapat dihayati sepenuhnya jika seseorang guru mampu bertindak dengan jelas terhadap tanggungjawabnya. Dan kita tidak mungkin menjadi efisien jika kita bukan seorang guru yang beretika dan bermoral; jika kita seorang guru yang tidak ada prinsip; jika kita seorang yang buta mata hati; jika kita seorang guru yang tahu tapi tidak mahu; atau jika kita seorang guru yang ada ilmu tapi tidak beramal dengan ilmunya.
Setiap dari kita pasti mampu dan berjaya menjadi seorang guru yang beretika dan seterusnya berjaya jika kita menghayati sabda Rasulullah s.a.w. yang mafhumnya;
"Barangsiapa yang amalannya hari ini lebih baik dari semalam;
dia adalah orang yang beruntung.
Barangsiapa yang amalannya hari ini sama dengan yang semalam,
dia adalah orang yang rugi.
Dan barangsiapa yang amalannya hari ini lebih buruk dari hari semalam,
dia tergolong orang yang dilaknat Allah S.W.T."



Bibliografi

Sumber Utama:

Hj. Abdul Ghani Samsudin (2004). Sahsiah Guru Muslim dan Keberkesanan Pendidikan Islam. Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya.


Sumber Sampingan:

Wan Liz Ozman Wan Omar (2000). Mengurus Agenda Abad 21 : Cabaran Dan Persiapan Dalam Era Globalisasi, Golden Books Centre Sdn. Bhd. Kuala Lumpur.

Norhashim Abu Samah, Mazenah Youp, Rosalinda Alias (1996), Pengajaran Bantuan Komputer. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa & Pustaka.

Hussein Mahmood (1993) Kepemimpinan dan Keberkesanan Sekolah. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Hj. Abdul Ghani Samsudin (2004). Sahsiah Guru Muslim dan Keberkesanan Pendidikan Islam. Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya.

http://www.bernama.com/bernama/v3/

___________________(2001); Penyataan Dasar Standard Tinggi Kualiti Pendidikan.
Jemaah Nazir Sekolah Persekutuan, Kementerian Pendidikan Malaysia, Kuala Lumpur.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home