Guru Sejati

Thursday, July 21, 2005

Apakah yang anda faham dengan insan guru seimbang dan
huraikan ciri-ciri guru yang seimbang.
1. Pengenalan

Falsafah Pendidikan Kebangsaan
"Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.”

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata cabaran guru pada masa ini adalah untuk melahirkan "pelajar seimbang yang mampu berfikir" yang boleh menjadi aset penting kepada negara. Tugas guru bukan melahirkan pelajar cemerlang dalam akademik semata-mata, sebaliknya melahirkan generasi muda yang mempunyai fikiran rasional, berfikir secara kritikal dan mempunyai semangat patriotik yang tinggi, kata Timbalan Perdana Menteri. "Apa guna kita melahirkan pelajar yang bijak tetapi mencaci negara sendiri di luar negara. Kita mahu melahirkan rakyat yang ada perasaan bangga kerana lahir di negara ini," katanya ketika melancarkan perayaan Hari Guru 2005 Peringkat Kebangsaan di Nilai baru-baru ini.

Berdasarkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan ucapan Datuk Seri Najib Tun Razak, tugas melahirkan insan seimbang adalah tanggungjawab guru. Tugas ini sememangnya menuntut seseorang guru untuk memiliki ciri-ciri insan yang seimbang kerana hanya guru yang seimbang mampu mewujudkan insan atau murid yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan yang dimaksudkan itu.


2. Insan Guru Yang Seimbang
2.1 Pengenalan

Seorang guru yang seimbang mempunyai pelbagai keseimbangan dan kesepaduan antara aspek keilmuan, kerohanian, dan kemahiran disertai rasa tanggungjawab terhadap agama, bangsa dan negara. Oleh yang demikian guru yang seimbang semestinya
a. guru yang berkesan,
b. guru yang ‘perkasa’ dan
c. profesional

2.2 Guru Berkesan

Bagaimana dan apakah ciri-ciri yang dimaksudkan dengan seorang guru yang berkesan itu? Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Dato' Dr. Abdul Shukor Abdullah menyenaraikan ciri-ciri guru berkesan sebagaimana berikut:
• Bersikap profesional.
• Mempamerkan ciri-ciri kekuatan teori.
• Kaya ilmu.
• Bertindak di atas landasan etika dan tatasusila kerja.
• Bermoral teguh.
• Sentiasa berusaha meningkatkan kualiti hasil pengajaran.
• Prihatin dengan kehendak murid dan ibu bapa.
• Berkebolehan menilai kekuatan dan kelemahan murid-murid.
• Melengkapkan diri dengan kemahiran yang sejajar dengan tuntutan semasa.
• Menampilkan watak terpuji, berimej, berperibadi mulia, berwawasan sebagai pendidik unggul pada setiap masa.
• Mempastikan situasi 'Guru mengajar murid belajar' wujud di dalam kelas.
• Berupaya melahirkan 'persekolahan berwatak' supaya pelajar mempunyai kekuatan ilmu, berpersonaliti sihat dan serba boleh.
• Berupaya membina minda pelajar yang cemerlamg akademik.
• Berupaya membentuk perwatakan murid dengan pelbagai keteguhan nilai diri (bermoral, berakhlak mulia, berketrampilanm, pandai menyesuaikan diri dengan situasi tertentu).
• Taat dan setia terhadap perkhidmatannya, mempertahankan martabat profesionnya.
• Menunjukkan kesetiaan kepada kerajaan, bebas pendirian, tidak berbelah bahagi.
• Profesional dan menumpukan perhatian kepada P&P di sekolah.

Untuk menjadi guru berkesan seseorang guru perlu berubah. Sudah menjadi kebiasaan bahawa kita lumrahnya liat dan sukar menerima perubahan. Kita sentiasa berpendapat bahawa:
• Bila memikirkan perubahan kita sering fikirkan perkara-perkara yang kita kena lepaskan, bukan kepada perkara-perkara yang akan kita dapat .
• Sekali pun perubahan telah berlaku kita secara fitrahnya mahu meletakkan perkara-perkara kembali kepada keadaan asalnya.

Seseorang guru yang sentiasa berusaha untuk mempertingkatkan kualiti pengajarannya dan sentiasa mementingkan kejayaan dan kebajikan murid-muridnya dikatakan mempunyai "profesionaliti" yang tinggi. Dengan kata lain, guru itu melihat perguruan dan tugasnya bukan semata-mata sebagai satu "pekerjaan" tetapi sebagai satu "profesion".

2.3 Guru ‘Perkasa’

2.3.1 Pengenalan: Kualiti, Cekap dan Berkesan
Guru adalah nadi kepada sekolah. Profesionalismenya adalah kunci kepada peningkatan kualiti. Kualiti yang dimaksudkan bukan sahaja kepada kualiti proses malah yang lebih utama ialah kualiti outputnya (hasil). Perkara ini tidak mungkin dicapai jika individu, kumpulan, kelompok dan organisasi tidak cekap dan tidak berkesan. Oleh demikian agenda memperkasakan guru merupakan perkara yang perlu dititikberatkan.

Menjadi guru yang perkasa bukanlah bererti perkasa dari segi fizikal dan tenaga sahaja tetapi yang lebih penting ialah keperkasaan dari aspek profesionalismenya, prinsipnya, keutuhan keperibadiannya, kecekapan dan ketrampilannya, mental dan keintelektualannya, kestabilan emosi dan spiritualnya serta kebijaksanaan dan kepemimpinannya. Oleh itu menjadi seorang guru yang perkasa amat dipengaruhi oleh tahap tinggi atau rendahnya ciri-ciri dan prestasi profesionalismenya; teguh, tegas dan utuh atau rapuh, lemah dan tidak tegas pegangan hidup dan prinsipnya; luas, tinggi dasn mendalam atau sebaliknya dari segi intelektualnya yang digambarkan menerusi kesedaran-diri dan faham-kendiri yang mendasari kebijaksanaan dan hemah dalam kepimpinan. Seorang guru yang perkasa juga seorang guru yang cekap dan berkesan.

2.3.2 Jadilah Seorang Yang Powerful
Menjadi seorang yang "powerless" tidak menjanjikan sebarang kebaikan dan faedah sama ada dari segi peribadi, kumpulan, kelompok atau pun organisasi dan kerjaya yang kita ceburi. Tentulah kita memilih untuk menjadi "powerful" dan berjaya dalam semua bidang dan aspek kehidupan berkeluarga, sosial dan kerjaya dan dapat menyumbang kepada kesejahteraan bangsa dan negara menerusi tugas mendidik yang kita hayati ini.
Guru sebenar guru ialah seorang guru yang memiliki sifat dan ciri-ciri unggul sebagai penyampai ilmu (yang benar), sebagai penyemai nilai luhur, pembimbing, penunjuk ajar dan pemberi pedoman hidup serta yang paling penting dan berkesan sebagai contoh dan teladan kepada setiap anak didiknya. Guru yang perkasa bukan sahaja sihat tubuh badan dan sihat pula mental dan pemikirannya tetapi seorang yang penuh dengan sifat-sifat iltizam, dedikasi, bertanggungjawab, komited, tekun, sabar, bertimbang rasa, rajin, ceria, amanah, berpegang kepada janji; tetap tidak akan mengkhianati tugasnya atau murid-muridnya.

Prinsip utamanya seorang guru yang perkasa mesti faham bahwa tugas 'mengajar dan mendidik serta meneladan' adalah pekerjaan yang sangat mulia. Guru sebenar guru mestilah dapat menganggap pergi ke sekolah sebagai pergi ke medan jihad (menentang, membasmi dan mencegah kejahilan, kebodohan, kebebalan, kelemahan, kealpaan, kemunduran dan kehinaan akibat tidak berilmu pengetahuan) dan kerja mengajar pula (tanpa sebarang muslihat dan tipu helah) sebagai suatu ibadah. Oleh itu seseorang guru itu akan memainkan peranan mengikut keadaan dan situasi secara penuh tanggungjawab, jujur dan ikhlas; yang di dalam Islam guru sebenar guru ini dikelaskan sebagai:
• Al-mu'allim : menyampaikan ilmu yang benar
• Al-murabbi : menjayakan proses tarbiah
• Al-mu'addib : mengajarkan adab dan budi pekerti
• Al-mursyid : membentuk kepimpinan insan
• Al-mudarris : menitipkan pelajaran dan kemahiran

Seorang guru yang perkasa tidak akan cepat menyalahkan keadaan dan tempat sebelum ia menyalahkan dirinya terlebih dahulu, dan di samping itu pula berusaha meningkatkan ketrampilan dan kewibawaan diri ke tahap yang paling tinggi.

2.3.3 Sifat dan Ciri-Ciri Seorang Guru Yang Perkasa (Seimbang)

Guru yang perkasa mempunyai sifat dan ciri-ciri berikut terhadap murid, mengajar dan disiplin:

a. Terhadap Murid:
1. mempunyai empati dan komitmen dalam menghargai maruah orang lain (iaitu anak didik, ibu bapa dan rakan sejawat) dalam mengejar hasil dari segi afektif dan juga kognitif
2. hubungkan 'mata plajaran' dengan kehidupan murid-murid
3. kenal, hormati dan percayai murid-murid
4. mengajar murid-murid bagaimana hendak belajar, menganalisa dan berfikir secara kritis
5. menjana idea-idea baru dan menarik bagi murid-murid berfikir mengenainya
6. menggalakkan murid-muird bertanyakan soalan mengenai pelajaran
7. hadir dalam lain-lain aktiviti di mana murid-murid terlibat seperti sukan, persembahan musikal dn kebudayaan.

b. Terhadap Mengajar:
1. melakukan refleksi dan kritik-kendiri, mercu tanda profesionalisme seorang guru
2. berfikir secara sistematik mengenai amalannya dan belajar daripada pengalaman
3. adil dalam menilai dan menggred
4. fleksibel dalam pendekatan-pendekatan pengajaran dan pembelajaran
5. bersemangat dalam mengajar, murid-murid dalam sesuatu mata pelajaran
6. seorang komunikator yang cemerlang; mampu menjadikan idea-idea yang kompleks mudah difahami dengan itu murid-murid dapat memahami dan menghargainya
7. sering mengukur kemajuan dan memberikan maklumbalas kepada murid-murid
8. merancang pengajaran terlebih dahulu, beri masa yang cukup bagi setiap tajuk, dan menyepadukan mata pelajaran
9. secara berterusan mengukur pendekatan, syarahan dan ujian-ujian bagi memastikan kurikulum yang sentiasa 'baru dan segar' serta relevan
10. menyertai jawatankuasa-jawatankuasa bagi menambahbaik sekolah, jabatan atau dirinya sendiri.

c. Terhadap Disiplin:
1. seorang yang pakar dalam bidang yang dia ajar
2. seorang yang 'laparkan' ilmu; sentiasa up to date dalam bidangnya dengan membaca; menghadiri konferens, konvensyen, bengkel dan seminar; dan mengikuti kursus-kursus dalam perkhidmatan
3. juga seorang yang suka 'belajar' perkara-perkara di luar bidangnya
4. aktif dalam penubuhan profesional dan menggalakkan rakan sejawat menyertainya
5. menjadi ahli kepada komuniti yang belajar
6. bina dan mengekalkan perhubungan profesional
7. bekerja dalam organisasi sekolah yang luas
2.4 Guru Profesional

Insan guru yang seimbang sememangnya mereka yang tergolong daripada mereka yang profesional. Guru yang profesional mampu menjamin dan menjana murid-murid yang seimbang secara keseluruhannya.

Setiap sesuatu di dunia ini mempunyai dua wajah; positif atau negatif; hitam atau putih; buruk atau baik; cemerlang atau kecundang; begitu juga sikap dan perlakuan kita sebagai guru-guru yang bukan sahaja profesional sifatnya malah menunjukkan ciri-ciri profesionaliti yang tinggi sepanjang masa.

2.4.1 Ciri-ciri Guru Profesional
Antara ciri-ciri membezakan antara guru yang profesional dengan guru yang tidak; rujuk senarai semak berikut, dan marilah kita menukar sikap, persepsi dan posisi kita agar menjadi lebih perkasa dan berwibawa dalam melaksanakan tugas mulia sebagai seorang guru.


Guru yang Profesional Guru yang tidak Profesional

Mula kerja awal pagi Mula kerja setelah loceng berbunyi

Sedia bergerak awal hari Sudah pun letih di awal pagi

Mengurus dengan merancang Mengurus dengan krisis

Ada perancangan & matlamat Ada berbagai alasan

Berpakaian secara 'profesional' Berpakaian selekeh

Guna waktu luang sebagai waktu Guna waktu luang mengumpat dan 'kerja' mengeji

Suka ikuti latihan kerana berikan perkem- Komplen tentang latihan dan pelik bangan profesional mengapa ianya perlu


Kesimpulannya, guru yang mempunyai tahap profesional yang tinggi akan berjaya menjalankan tugas dengan sempurna. Semua ciri-ciri profesional yang dibincangkan tadi jika dirangkum akan melahirkan guru yang hebat dan seimbang, bukan sahaja menjadi aspirasi murid bahkan seluruh rakyat.

3. Ciri-ciri Insan Guru Yang Seimbang (Perspektif Muslim)

Jika seseorang guru berhasrat untuk menjadikan dirinya insan guru seperti yang tersirat dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan, guru tersebut perlulah memiliki ciri-ciri yang berkualiti iaitu berpengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, dan amanah dalam menjalankan tugas.

Menurut Prof Omar al-Toumi al-Syibani sifat dan ciri seorang guru muslim hendaklah merangkumi:

3.1 Sifat Rohaniah

1. Keimanan yang kental kepada Allah yang maha sempurna
2. Keimanan kepada hari akhirat, hari pembalasan dan seluruh para Rasul
3. Sifat-sifat keimanan asas yang lain

3.2 Sifat-Sifat Akhlak

1. Benar dan jujur
2. Menepati janji
3. Amanah
4. Ikhlas dalam perkataan dan perbuatan
5. Merendah diri
6. Sabar, tabah dan cekal
7. Pemaaf dan toleransi
8. Menyayangi murid, mementingkan orang lain, pemurah, zuhud dan qanaah



3.3 Sifat Mental, Kejiwaan dan Jasmani

3.3.1 Sifat Mental
1. Cerdas (Kepintaran teori, amali dan sosial)
2. Menguasai mata pelajaran takhassus
3. Luas pengetahuan am
4. Cenderung kepada pelbagai bidang akliah, dan ilmiah yang sihat
5. Mengenal ciri, watak, kecenderungan dan keperluan murid
6. Fasih, bijak dan petah dalam penyampaian

3.3.2 Sifat Kejiwaan
1. Sifat tenang dan emosi yang mantap
2. Optimistik dalam hidup, penuh harap kepada Allah dan tenang jiwa bila mengingatiNya.
3. Kepercayaan kepada diri dan mempunyai kemahuan yang kuat
4. Bersifat lemah lembut dan baik dalam pergaulan
5. Berfikiran selesa dan boleh menyesuaikan diri dengan masyarakat

3.3.3 Sifat Fizikal
1. Sihat tubuh badan dan terhindar dari penyakit berjangkit atau tidak berjangkit
2. Berperawakan tampan, kemas dan bersih.

4. Kesimpulan

Cabaran yang dihadapi oleh para guru dalam mengajar murid-murid zaman ini bukanlah suatu yang mudah. Guru berhadapan dengan kenakalan remaja yang semakin serius. Oleh yang demikian, guru seharus bersedia dalam apa jua bentuk ujian mendatang. Guru seimbang adalah mereka yang berkesan dalam melakukan tangggungjawab dan ‘perkasa’ dalam menempuhi arus dunia global. Tanpa guru yang bersedia sepenuhnya dan kerjasama semua pihak proses pendidikan tidak akan berjaya menghasilkan generasi yang baik untuk masyarakat dan negara Malaysia.

Bibliografi

Sumber Utama:

http://www.angelfire.com/journal2/fakir_zamani/


Sumber Sampingan:

Hussein Mahmood (1993) Kepemimpinan dan Keberkesanan Sekolah. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Hj. Abdul Ghani Samsudin (2004). Sahsiah Guru Muslim dan Keberkesanan Pendidikan Islam. Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya.

http://www.bernama.com/bernama/v3/

___________________(2001); Penyataan Dasar Standard Tinggi Kualiti Pendidikan.
Jemaah Nazir Sekolah Persekutuan, Kementerian Pendidikan Malaysia, Kuala Lumpur.

Norhashim Abu Samah, Mazenah Youp, Rosalinda Alias (1996), Pengajaran Bantuan Komputer. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa & Pustaka.

1 Comments:

Anonymous Anonymous said...

realy helpful...tq :-)

11:52 AM

 

Post a Comment

<< Home